Jumaat, 12 September 2014

Oleh Subky Latif
SEPATUTNYA saya tidak perlu ulas. Justeru penubuhan Pasma sudah disebut-sesbut sebagai serpihan PAS bagi menggantikannya dalam Pakatan Rakyat, elok juga diulas, moga-moga meredakan mereka yang keliru dengan politik.
   
Ia dikatakan usaha segelintir orang PAS dan beberapa orang PAS telah disebut dimasukkan dalam penajanya. Saya tidak fikir Husam Musa yang dinamakan sebagai Presidennya sedia mengorbankan potensi masa depannya yang cerah dalam PAS dan dalam penguasaan Putrajaya selepas PRU14 sedia serta dalam remeh politik itu.


  
Saya kurang arif dengan sikap Ustaz Ahmad Awang yang sudah berundur daripada politik yang aktif yang dicadangkan menjadi Mursyidul Amnya. Jika dia setuju, saya tidak nampak bisanya. Yang tambah merendahkan anggapan saya ia bukan idea yang serius apabila Setiausaha penajanya Taib Ahmad, ahli PAS lama dari Kubang Pasu yang amat kurang pengaruhnya dalam parti. 
   
Saya kenal dia. Dengan dia jadi penggerak utamanya, dia boleh daftar parti seperti Ustaz Wahab Yunus, orang PAS Dungun zaman Datuk Asri dulu. Dia simpan pendaftaran parti dan dikatakan pendaftaran dibeli oleh golongan reformasi  sebagai tapak pembentukan PKR. Itu yang saya dengar.
     
Jika ada pemimpin PAS yang hendak ikut, ia satu jalan keluar baginya setelah putus asa dalam PAS. Jika ada yang ikut, ia seperti gantung diri dalam politik. Untuk menyaingi PAS tak mungkin. Bagi mengambil alih tempat PAS dalam Pakatan Rakyat, jika berjaya, akan menjadikan Pakatan Rakyat, PKR dan DAP serta pemimpin-pemimpinnya bahan lawak jenaka terlucu.
    
Yang saya ulas ura-ura keinginan penubuhan itu kemungkinan ia diusahakan oleh sekutu PAS bagi memalukan PAS setelah ia tidak jadi tukang angguk dalam krisis politik Selangor sekarang. Setelah PAS dimalukan dengan dua ADUN disambar, maka mungkin diadakan pak sanggup bagi menggantikan tempat PAS dalam sekutu itu.
    
Tidaklah kita bersangka buruk, tetapi politik dunia ini begitu dan tidak boleh dipandang remah. Jika dari situ puncanya, habis Anwar dan Kit Siang jadi barang geli yang mengeringkan gusi.
     
Saya harap ia tidak begitu, kerana Anwar bukan setaraf pemimpin Umno yang menaja pembentukan Berjasa dan Hamim 30 tahun lalu. Jika Datuk Asri yang diketahui pintar tidak dapat menggugat PAS, maka tidak nampak Ahmad Taib boleh menjadi Erdogan bagi memandu politik baru di Malaysia.
     
Erdogan sudah dilihat lama sebagai orang Parti Refah yang menonjol lebih berdaya saing dari pimpinan Erbakan. Dia boleh kalahkan Erbakan daripada parti itu jika dia mahu. Kejayaannya sebagai Datuk Bandar Istanbul mengkagumkan semua parti politik Turki.
    
Belum ada daripada kalangan pimpinan PAS yang boleh menyamai Erdogan bagi pencabar pimpinan yang ada. Jika ada yang jadi macam Erdogan, Erdogan itu hanya ada seorang saja di dunia iaitu di Turki.
   
Jika ada orang yang hendak menjadikan Ahmad Taib dan Ustaz Ahmad Awang sebagai Erdogan PAS, ia adalah tidak lebih daripada pengarah wayang kulit yang tidak kreatif dan skrip pun tak ada.
   
Mereka boleh tidak puas hati dengan pimpinan dan pentadbiran PAS. Mereka berhak untuk mengadakan perubahan. Tetapi keutamaannya ialah menggantikan pimpinan yang lebih baik yang mereka fikirkan supaya boleh membawanya lebih ke depan terserlah. Bukan sekadar hendak menggantikan PAS sebagai sekutu Pakatan Rakyat baru.
     
Haji Yusuf Rawa, Ustaz Fadzil Noor, TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi pernah berada dalam PAS yang pimpinan ketika itu perlu digantikan. Mereka tidak tinggalkan parti atau tubuh parti lain. Mereka kekal dan melalukan perubahan dari dalam.
     
Rancangan itu bukan satu tindakan politik pintar, apa lagi daripada orang yang berpuluh tahun dalam PAS. 

Ahad, 7 September 2014

PASMA : REALITI ATAU FANTASI


Saya diberitahu oleh seorang kawan bahawa ada pertemuan beberapa pimpinan PKR dan pimpinan PAS yang pro kepada Anwar di KL. Pertemuan ini telah merangka beberapa perkara strategi untuk memastikan beberapa perkara antara lain ialah memastikan Pakatan Rakyat kekal sehingga PRU-14 dan juga memastikan pengaruh Presiden PAS tidak kuat kepada akar umbi. 

Pertemuan ini juga mencadangkan antara beberapa agenda yang berbentuk jangka pendek dan jangka panjang sehingga Muktamar PAS ke-61 iaitu 2015. 

Pada pendedahan kali kawan saya hanya memberi fokus kepada cadangan menubuhkan satu persatuan yang dinamakan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa). 

pertubuhan ini memberikan sasaran untuk menghalang PAS meninggalkan PR dan membesarkan momokan PAS akan bekerjasama dengan UMNO bagi tujuan rakyat bawahan yang pro Pakatan Rakyat akan merasai curiga kepada kumpulan atau groups ulama dan mereka yang berkecenderungan untuk meninggalkan Pakatan Rakyat. 

Kawan saya menyebut antara yang akan dilakukan:- 

1. Siri pertemuan PasMa di seluruh negara. 
2. Memberikan bantuan secara kewangan dan kemudahan kepada pengerak PasMa 
3. Melobi perwakilan yang akan ke Muktamar PAS ke-60 (jangka masa pendek) dan ke-61 (jangka masa panjang) 
4. mengerakkan blogger (blog) dan facebooker (facebook dan whatsapp) untuk menyerang kumpulan konservatif dalam PAS (geng ulama) 
5. memastikan imej Presiden PAS jatuh dan menggalakan pengkritikan secara terbuka di media sosial serta akhbar. 

BAGAIMANA KESUDAHANNYA SAMA-SAMA KITA NANTIKAN

Rabu, 3 September 2014

PELANTIKAN Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia minggu lalu dirai dengan penuh gembira oleh pendokong gerakan Islam, PAS di Malaysia. Pelbagai ucapan penghargaan diutarakan sebagai tanda sokongan berterusan kepada Presiden PAS itu.
Pelantikan itu juga, selain membuktikan kewibawaan ilmu dan peribadi yang dimiliki oleh Tuan Guru, turut membuktikan aura beliau sebagai pemimpin Islam bertaraf dunia yang masih berbisa dan diperlukan.
                                                                     


Bayangkan sahaja bagaimana lewat tahun lalu, Tuan Guru difitnah oleh media Mesir dengan menuduhnya memegang jawatan Setiausaha Agung Antarabangsa Ikhwanul Muslimin. Ini sesuatu yang pelik kerana dalam konflik Mesir yang berlangsung, nama Tuan Guru tiba-tiba muncul walaupun tidak dalam jangka masa yang panjang.
Digandingkan dengan ketuanya, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi serta dua naib lain, iaitu, Sheikh Ahmad Raysuni dan Sheikh Ahmad Al-Khalili, bukan mudah untuk seorang ulama dari Asia Tenggara sebaris dengan kumpulan ulama hebat itu dengan menggantikan jawatan seorang Naib sebelumnya iaitu Sheikh Ayatollah Mohammad Wa’izzada.
Bagaimanapun, jika difahami dengan lebih lanjut, ternyata pelantikan itu pula bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk satu sosok ulamapolitikus seperti Tuan Guru Abdul Hadi.
Malah, kalau boleh disebut dengan nada yang lebih provokatif dan berlebihan, Tuan Guru lebih layak untuk dilantik sebagai ketua pertubuhan itu, bukan sekadar sebagai Naib Ketua.
Pandangan seperti ini mungkin dianggap sebagai mengampu dan gila kuasa, tetapi realitinya, berapa ramai ulama dalam pertubuhan itu yang mempunyai pengalaman dalam bidang syariah dan politik dalam satu masa seperti Tuan Guru?
Golongan ulamapemikir dalam pertubuhan ini mungkin mudah untuk disenaraikan seperti Sheikh Rashid Al-Ghannoushi yang dikaguminya perspektifnya dalam membentuk kerangka landskap politik baharu di Tunisia lewat Revolusi Arab beberapa tahun lepas, tetapi beliau bukan pemimpin politik.
Sheikh Al-Qaradhawi juga terkenal fatwanya berhubung kehidupan seharian umat Islam termasuk dalam bidang politik, tetapi beliau juga bukan ahli politik malah Sheikh Al-Raysuni yang dikhabarkan telah menyusun sebuah Fiqh Revolusi sebagai tidak bertentangan dengan Islam, juga bukan ahli politik.
Apa yang lebih menarik untuk diperhatikan adalah Tuan Guru merupakan ulama dalam pertubuhan tersebut yang mempunyai kemampuan untuk mengadunkan ilmu syariah dalam lapangan yang lebih mencabar dan kritikal iaitu bidang politik.
Sebab itu kalau diperhatikan, Tuan Guru mampu memberikan satu kesimpulan yang lebih rasional dalam beberapa isu mengenai pertembungan puak Islam seperti yang berlaku dalam krisis di wilayah umat Islam.
Contohnya apa yang berlaku di Syria. Ketika banyak ulama memandang pertelingkahan itu sebagai konflik mazhab Sunni- Syiah, Tuan Guru ternyata mempunyai perspektif yang berbeza. Ini bukan sesuatu yang mudah apatah lagi dalam masa yang sama, ramai dalam kalangan umat Islam begitu panas untuk menyimpulkan isu ini sebagai usaha Syiah menindas umat Islam Sunni di sana.
Al-Qaradhawi sendiri kelihatan gagal memulihkan masalah ini dengan baik dan harmoni walaupun pandangan Sheikh ini begitu ramai dirujuk oleh ilmuwan Islam seluruh dunia sebagai panduan termasuklah di Malaysia. Tetapi malangnya, entah kerana bimbang dianggap menyokong PAS, maka ilmuwan tempatan kita mengabaikan pandangan Tuan Guru yang lebih meyakinkan.
Ternyata tidak mudah untuk seorang ulama menguasai pelbagai disiplin ilmu dan mengetuai sebuah parti politik yang besar seperti PAS. Tambahan pula, sosio-politik Malaysia cukup mudah terdedah dengan pelbagai isu perkauman dan agama, maka cabaran itu berat untuk digalas oleh Tuan Guru Abdul Hadi.
Tuan Guru seperti ulama lain memang mempunyai kemahiran untuk menulis, berucap dan bersyarah tentang disiplin Siyasah Syariyyah (Politik Islam), tetapi praktikalnya, tidak ramai yang mampu.
Banyak gerakan Islam dalam dunia yang berusaha untuk menggenggam kuasa politik, tetapi kemudiannya lebur kerana baharu mereka sedar realitinya cukup jauh berbeza.
Watak Tuan Guru Abdul Hadi tidak perlu pendekatan yang pragmatik dan terbuka (atau liberal), beliau kekal dengan berserban dan berjubah sebagai imej tradisional ulama di Nusantara tetapi kemampuannya mengemudi PAS cukup mengagumkan.
Memanglah ramai yang cuba membandingkan kepimpinan beliau dengan almarhum Dato’ Fadzil Noor, tetapi cabaran setiap zaman pemimpin itu berlainan malah sekarang ini lebih besar lagi tribulasi yang terpaksa dibereskan oleh Tuan Guru. 
                                                                         



Semasa Tuan Guru mengetuai PAS, parti ini berhadapan dengan seorang diktator Melayu Umno, Tun Dr Mahathir yang cukup keras ‘membelasah’ PAS tetapi sehingga hari ini, PAS terus bertahan pada tahap yang agak memuaskan.
Biar teruk dikaitkan dengan isu militan selepas Insiden 11 September, Amanat Palsu dan sebagainya, tetapi Tuan Guru dengan imejnya yang dianggap konservatif oleh sesetengah pihak, tetap dengan tegas menolak pendekatan bersenjata, sebaliknya lebih cenderung menggesa PAS kekal kukuh dengan jalan demokrasi yang ditempangkan oleh Umno-BN.v Cuma nasib PAS sedikit malang kerana kejayaan sebagai Ketua Pembangkang dalam penggal 1999- 2004 gagal diteruskan apabila berlaku peralihan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan PAS terpaksa berhadapan dengan cabaran baharu apabila imej Pak Lah yang kelihatan seperti ‘Mr Nice Guy.’
Ditambah pula dengan gagasan Islam acuan Umno yang dibawanya iaitu Islam Hadhari, maka cabaran untuk PAS memang terlalu besar. Pada masa itu, kekangan media alternatif dan ketiadaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter seperti pada hari ini menyebabkan PAS kesuntukan masa menghadapi gelombang biru Umno.
Akhirnya PAS kehilangan Terengganu manakala Kelantan pula, pentadbiran Tuan Guru Nik Aziz dalam situasi getir. Tetapi sekurang-kurangnya PAS sudah belajar realiti politik pentadbiran yang sebenar dan pada Pilihan Raya Umum Ke-12, PAS menikmati kemenangan yang cukup selesa bersama blok parti politik bukan kerajaan baharu, Pakatan Rakyat.
Dan ketika mentadbir Terengganu, imej Tuan Guru pernah digambarkan sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia seperti disiarkan oleh majalah terkenal, Asiaweek keluaran 16 Jun 2000 apabila muka hadapannya bertanya kemungkinan Tuan Guru memimpin negara satu hari nanti.


Selepas meneliti serba ringkas lincah politik Tuan Guru ini, bermakna, beliau masih relevan untuk menjadi tokoh politik yang penting dalam tanah air walaupun beberapa pendekatan lain perlu diambil untuk memastikan kesegaran PAS dalam siasah tanah air. Ini bukan kerja beliau seorang, tetapi kerjasama semua pihak.