PELANTIKAN Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Naib
Ketua Kesatuan Ulama Sedunia minggu lalu dirai dengan penuh gembira oleh
pendokong gerakan Islam, PAS di Malaysia. Pelbagai ucapan penghargaan
diutarakan sebagai tanda sokongan berterusan kepada Presiden PAS itu.
Pelantikan itu juga, selain membuktikan kewibawaan ilmu dan
peribadi yang dimiliki oleh Tuan Guru, turut membuktikan aura beliau sebagai
pemimpin Islam bertaraf dunia yang masih berbisa dan diperlukan.
Bayangkan sahaja bagaimana lewat tahun lalu,
Tuan Guru difitnah oleh media Mesir dengan menuduhnya memegang jawatan
Setiausaha Agung Antarabangsa Ikhwanul Muslimin. Ini sesuatu yang pelik kerana
dalam konflik Mesir yang berlangsung, nama Tuan Guru tiba-tiba muncul walaupun
tidak dalam jangka masa yang panjang.
Digandingkan dengan ketuanya, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi serta
dua naib lain, iaitu, Sheikh Ahmad Raysuni dan Sheikh Ahmad Al-Khalili, bukan
mudah untuk seorang ulama dari Asia Tenggara sebaris dengan kumpulan ulama
hebat itu dengan menggantikan jawatan seorang Naib sebelumnya iaitu Sheikh
Ayatollah Mohammad Wa’izzada.
Bagaimanapun, jika difahami dengan lebih lanjut, ternyata
pelantikan itu pula bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk satu sosok
ulamapolitikus seperti Tuan Guru Abdul Hadi.
Malah, kalau boleh disebut dengan nada yang lebih provokatif dan
berlebihan, Tuan Guru lebih layak untuk dilantik sebagai ketua pertubuhan itu,
bukan sekadar sebagai Naib Ketua.
Pandangan seperti ini mungkin dianggap sebagai mengampu dan gila
kuasa, tetapi realitinya, berapa ramai ulama dalam pertubuhan itu yang
mempunyai pengalaman dalam bidang syariah dan politik dalam satu masa seperti
Tuan Guru?
Golongan ulamapemikir dalam pertubuhan ini mungkin mudah untuk
disenaraikan seperti Sheikh Rashid Al-Ghannoushi yang dikaguminya perspektifnya
dalam membentuk kerangka landskap politik baharu di Tunisia lewat Revolusi Arab
beberapa tahun lepas, tetapi beliau bukan pemimpin politik.
Sheikh Al-Qaradhawi juga terkenal fatwanya berhubung kehidupan
seharian umat Islam termasuk dalam bidang politik, tetapi beliau juga bukan
ahli politik malah Sheikh Al-Raysuni yang dikhabarkan telah menyusun sebuah
Fiqh Revolusi sebagai tidak bertentangan dengan Islam, juga bukan ahli politik.
Apa yang lebih menarik untuk diperhatikan adalah Tuan Guru
merupakan ulama dalam pertubuhan tersebut yang mempunyai kemampuan untuk
mengadunkan ilmu syariah dalam lapangan yang lebih mencabar dan kritikal iaitu
bidang politik.
Sebab itu kalau diperhatikan, Tuan Guru mampu memberikan satu
kesimpulan yang lebih rasional dalam beberapa isu mengenai pertembungan puak
Islam seperti yang berlaku dalam krisis di wilayah umat Islam.
Contohnya apa yang berlaku di Syria. Ketika banyak ulama memandang
pertelingkahan itu sebagai konflik mazhab Sunni- Syiah, Tuan Guru ternyata
mempunyai perspektif yang berbeza. Ini bukan sesuatu yang mudah apatah lagi
dalam masa yang sama, ramai dalam kalangan umat Islam begitu panas untuk
menyimpulkan isu ini sebagai usaha Syiah menindas umat Islam Sunni di sana.
Al-Qaradhawi sendiri kelihatan gagal memulihkan masalah ini dengan
baik dan harmoni walaupun pandangan Sheikh ini begitu ramai dirujuk oleh
ilmuwan Islam seluruh dunia sebagai panduan termasuklah di Malaysia. Tetapi
malangnya, entah kerana bimbang dianggap menyokong PAS, maka ilmuwan tempatan
kita mengabaikan pandangan Tuan Guru yang lebih meyakinkan.
Ternyata tidak mudah untuk seorang ulama menguasai pelbagai
disiplin ilmu dan mengetuai sebuah parti politik yang besar seperti PAS.
Tambahan pula, sosio-politik Malaysia cukup mudah terdedah dengan pelbagai isu
perkauman dan agama, maka cabaran itu berat untuk digalas oleh Tuan Guru Abdul
Hadi.
Tuan Guru seperti ulama lain memang mempunyai kemahiran untuk
menulis, berucap dan bersyarah tentang disiplin Siyasah Syariyyah (Politik
Islam), tetapi praktikalnya, tidak ramai yang mampu.
Banyak gerakan Islam dalam dunia yang berusaha untuk menggenggam
kuasa politik, tetapi kemudiannya lebur kerana baharu mereka sedar realitinya
cukup jauh berbeza.
Watak Tuan Guru Abdul Hadi tidak perlu pendekatan yang pragmatik
dan terbuka (atau liberal), beliau kekal dengan berserban dan berjubah sebagai
imej tradisional ulama di Nusantara tetapi kemampuannya mengemudi PAS cukup
mengagumkan.
Memanglah ramai yang cuba membandingkan kepimpinan beliau dengan
almarhum Dato’ Fadzil Noor, tetapi cabaran setiap zaman pemimpin itu berlainan
malah sekarang ini lebih besar lagi tribulasi yang terpaksa dibereskan oleh
Tuan Guru.
Semasa Tuan Guru mengetuai PAS, parti ini berhadapan dengan
seorang diktator Melayu Umno, Tun Dr Mahathir yang cukup keras ‘membelasah’ PAS
tetapi sehingga hari ini, PAS terus bertahan pada tahap yang agak memuaskan.
Biar teruk dikaitkan dengan isu militan selepas
Insiden 11 September, Amanat Palsu dan sebagainya, tetapi Tuan Guru dengan
imejnya yang dianggap konservatif oleh sesetengah pihak, tetap dengan tegas
menolak pendekatan bersenjata, sebaliknya lebih cenderung menggesa PAS kekal
kukuh dengan jalan demokrasi yang ditempangkan oleh Umno-BN.v Cuma nasib PAS
sedikit malang kerana kejayaan sebagai Ketua Pembangkang dalam penggal 1999-
2004 gagal diteruskan apabila berlaku peralihan kepimpinan Perdana Menteri, Tun
Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi menyebabkan PAS terpaksa
berhadapan dengan cabaran baharu apabila imej Pak Lah yang kelihatan seperti
‘Mr Nice Guy.’
Ditambah pula dengan gagasan Islam acuan Umno yang dibawanya iaitu
Islam Hadhari, maka cabaran untuk PAS memang terlalu besar. Pada masa itu,
kekangan media alternatif dan ketiadaan laman sosial seperti Facebook dan Twitter
seperti pada hari ini menyebabkan PAS kesuntukan masa menghadapi gelombang biru
Umno.
Akhirnya PAS kehilangan Terengganu manakala Kelantan pula,
pentadbiran Tuan Guru Nik Aziz dalam situasi getir. Tetapi sekurang-kurangnya PAS sudah
belajar realiti politik pentadbiran yang sebenar dan pada Pilihan Raya Umum
Ke-12, PAS menikmati kemenangan yang cukup selesa bersama blok parti politik
bukan kerajaan baharu, Pakatan Rakyat.
Dan ketika mentadbir Terengganu, imej Tuan Guru pernah digambarkan
sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia seperti disiarkan oleh majalah terkenal,
Asiaweek keluaran 16 Jun 2000 apabila muka hadapannya bertanya kemungkinan Tuan
Guru memimpin negara satu hari nanti.
Selepas meneliti serba ringkas lincah politik Tuan Guru ini,
bermakna, beliau masih relevan untuk menjadi tokoh politik yang penting dalam
tanah air walaupun beberapa pendekatan lain perlu diambil untuk memastikan
kesegaran PAS dalam siasah tanah air. Ini bukan kerja beliau seorang, tetapi
kerjasama semua pihak.