Ahad, 6 Oktober 2013

GUNUNG STONG


Jom terokai keindahan Gunung Stong

Cuti sekolah tiba lagi… anda berkira-kira nak melancong tapi tak tahu ke mana? Apa kata pergi ke Gunung Stong di Dabong, Kuala Krai, Kelantan.
Terkenal sebagai puncak air terjun tertinggi di Asia Tenggara, Air terjun Jelawang di Gunung Stong pasti memukau sesiapa saja. Dengan ketinggian 303 meter, air terjun Jelawang setinggi tujuh tingkat di persisir banjaran Titiwangsa itu boleh dilihat dari jauh sehingga tidak berkelip mata memandang.
Air terjun Jelawang boleh dilihat dari jauh
Air terjun Jelawang boleh dilihat dari jauh
Bagi yang meminati aktiviti lasak, meluncur di puncak air terjun itu dengan disajikan pemandangan flora dan fauna yang mempesona pastinya sesuatu yang sukar untuk dilupakan, ditambah deruan air yang mengalir di celahan batu dan kedinginan air gunung bagaikan rawatan refleksologi menghilangkan keletihan mendaki untuk sampai ke air terjun itu.
Meliputi kawasan lebih 61,734 hektar, taman ini kaya dengan pelbagai hidupan liar seperti gajah, harimau, beruang, monyet, burung dan serangga. Pelbagai spesies tumbuhan seperti bunga terbesar di dunia, rafflesia serta orkid liar turut menjadi tarikan.
Taman Hutan Negeri Stong
Taman Hutan Negeri Stong
Bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak, Gunung Stong yang tingginya mencecah 1,433 meter, adalah lokasi kegemaran sesuai untuk aktiviti merentas hutan dan mendaki gunung.
Setiap pengunjung dikenakan bayaran RM4 untuk memasuki Taman Negeri Stong. Sebelum sampai ke puncak Gunung Stong, pendaki akan melalui beberapa puncak seperti Gunung Ayam, Gunung Saji dan Gunung Tara iaitu rangkaian gunung terbesar di Kelantan.
Pendaki biasanya akan menjadikan Kem Baha yang terletak di puncak Air Terjun Jelawang sebagai tapak persinggahan untuk bermalam sebelum meneruskan perjalanan meneroka keindahan kawasan gunung menghijau itu.
Kem Baha ini juga unik kerana ia adalah tempat pertembungan dua sungai dari Gunung Stong dan Gunung Ayam yang mana digelar sebagai `The Last Waterfall’ oleh penduduk di sini.
Perkelahan menyeronokkan
Perkelahan menyeronokkan
Ia juga adalah `pintu masuk’ kepada beberapa tarikan alam semula jadi lain, kerana dari tapak persinggahan berkenaan akan membolehkan pengunjung menikmati kehijauan kawasan gunung dan keindahan serta keunikan flora serta faunanya.
Dari Kem Baha, pendaki akan sampai ke puncak Gunung Stong dengan meneruskan pendakian selama empat atau lima jam lagi.
Bagi yang membawa ahli keluarga dan tidak terdaya mendakinya, memadai mengecapi keindahan alam semula jadi di kaki gunung berkenaan yang dikelilingi hutan lipur indah.
Untuk ke Gunung Stong tidak sukar kerana jalan penghubungnya sudah disediakan. Bagi pengunjung yang tidak menaiki kenderaan persendirian boleh menggunakan kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan kereta api.
Jika berkereta api, pengunjung sama ada dari Tumpat atau Kuala Lumpur atau Singapura boleh turun di stesen kereta api di pekan Dabong dan menaiki kereta sewa ke Gunung Stong.
Air terjun yang mengasyikkan
Air terjun yang mengasyikkan
Singgahlah seketika di pekan Dabong kerana untuk merehatkan minda sambil bersiar-siar di pekan kecil yang menarik dan jauh dari kesibukan kota.
Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di pekan Dabong pula menjanjikan persinggahan unik bagi yang gemarkan sesuatu yang klasik. Jangan lepaskan peluang bergambar di stesen yang masih mengekalkan ciri-ciri binaan stesen kereta api lama.
Apa lagi, terokailah Gunung Stong sambil menikmati keindahan alam semula jadinya dan singgahlah ke pekan Dabong yang pastinya memberikan kenangan yang berbeza daripada di bandar.

Tiada ulasan: